30 December 2009

Mana Ada Orang Tidak Berdosa

"Semua anak-anak Adam itu berdosa dan orang-orang berdosa yang terbaik adalah orang yang bertaubat".

Kalam nabi riwayat Ibnu Majah di atas adalah antara ucapan yang sering meniti di setiap kalam umat Islam. Bahkan berkemungkinan anak-anak kecil jua turut menghafaznya.

Dosa. Ya. Mana ada yang tidak melakukan dosa. Yang tidak melakukan dosa di kalangan manusia hanyalah para nabi dan para Rasul. Selebihnya tetap membuat dosa sama ada sengaja atau tidak.

Orang Mukmin itu berada antara dua perasaan; takut dan harap. Takut dengan dosa yang dilakukannya pada Allah yang Maha Gagah, Maha Perkasa, Maha Keras Siksanya, Maha Pendendam dan pelbagai lagi nama-nama Allah yang bersifat Jalal.

Namun sekiranya takut itu terlalu berlebihan, ia akan menyebabkan seseorang itu akan putus asa daripada rahmat Allah Taala sedangkan ia bukan sikap seorang mukmin.

Akhirnya wujudlah sikap kedua iaitu mengharap kasih serta pengampunan dari Allah. Semestinya kerana Allah itu Maha Pengampun, Maha Lembut terhadap hambaNya, Maha Merahmati.





Satu hadith Rasulullah yang dimuatkan di dalam Sohih al-Bukhari berbunyi:

لَمَّا قَضَى الله الْخَلْقَ كَتَبَ في كِتَابِهِ فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ إِنَّ رَحْمَتِي غَلَبَتْ غَضَبِي

bermaksud: ((Apabila Allah meletakkan ketentuan terhadap makhluk, Allah telah menulis di dalam kitabNya yang mana kitabNya itu di sisiNya adalah di atas Arasy. Tulisan di dalam kitab tersebut berbunyi: "Sesungguhnya RahmatKu Mengalahkan KemurkaanKu")).

Banyak sungguh dosa kita pada Allah. Kadang-kadang manusia memandang kita dengan pandangan yang terlalu mulia sedangkan kita sendiri sangat tahu betapa hinanya kita di hadapan sang Pencipta alam buana.

Dalam tasawwuf, kita diajar agar jangan mendabik dada dengan amalan dan ibadat yang dibuat kerana syurga yang dirindui itu bukan akan diperolehi dengan amalan dan ibadat sebaliknya ia diperolehi semata-mata atas dasar rahmat dan kasih sayang Allah.

Dalam tasawwuf kita diajar bahawa jangan memandang hina pada orang yang terjatuh dalam lembah dosa. Mana tahu akhirnya dia bangkit dan kembali bertaubat sesungguh-sungguhnya lalu dia diterima oleh Sang Maha Pengampun.

Akhirnya yang berlaku dalam jiwa seorang hamba adalah sentiasa merasa takut pada murka Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Berat SiksaNya. Namun dia tetap mengharap agar Allah mengampuni ketelanjurannya.

Dia pula apabila melihat ada teman yang kecundang lalu jatuh dalam lembah hina dan dosa, dia memandang temannya dengan mata kasih sayang. Benci pada dosa yang dilakukan namun bejiwa besar untuk memimpin tangan teman sang pendosa kerana dia mahu mendapat cinta tuhan. Mana tahu kelak Allah merahmatinya dek kerana sikap rahmatnya yang mahu membimbing teman yang disayanginya agar tidak terus jatuh selama-lamanya.

Sekali jatuh bukan bererti akan terus jatuh selama-lamanya.

Janganlah ada dalam jiwa kita bahawa kita manusia suci yang memandang sang pendosa dengan pandangan hina. Seakan-akan kita sangat yakin bahawa kita adalah ahli syurga dan pendosa itu memang ahli neraka.

Syurga dan neraka milik Allah seabadinya.

Jadilah seperti seorang yang melihat orang lain hampir tergelincir yang akan menyebabkan dia akan jatuh ke dalam gaung yang dalam. Pasti orang yang jiwanya bersih akan berkejar dan merentap tangan si miskin tersebut agar dia selamat daripada kematian yang mengerikan. Namun kalau kita tetap membiarkannya untuk terus tergelincir lalu mati dalam gaung yang dalam, anda memang tidak menyayanginya. Anda memang kejam.

Begitulah perumpamaan hidup ini. Mati di dunia itu adalah terlalu kecil jika ingin dibandingkan dengan sengsara di akhirat nanti.

Orang berdosa memang bersalah pada tuhanNya. Namun mana tahu air matanya yang gugur tanda insaf dan taubat yang murni akhirnya mengalahkan ibadat orang-orang yang memandang jelik pada insan berdosa. Mana tahu air mata keinsafannya rupa-rupanya mampu untuk memadam api neraka serta murka Sang Pencipta.

Ya ALLAH,. Ampunkan kami sebelum kami dipaksa pergi.

notakakiku1:kredit tuk sumber..

1 comments:

Yien said...

sama2 kita berusaha mencari rahmatNya